Edited by sfhzuraz at 23-12-2024 11:53 AM
Dua mangsa bot hanyut selamat tiba di Pulau Pinang
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 23, 2024 @ 11:15am [email protected]
Muhammad Ikmal (kiri) dan Nor Hasrul yang ditemui selamat selepas hanyut selama enam hari melakukan sujud syukur di atas kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). - Foto NSTP/Mikail Ong
BATU MAUNG: Dua mangsa bot hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Selasa lalu selamat tiba di Jeti Limbungan Batu Maung, di sini, hari ini.
Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, dibawa dari perairan Acheh, Indonesia oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menaiki KM Burau dan tiba pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata mereka berada dalam keadaan selamat dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Balik Pulau bagi rawatan lanjut.
"Pada jam 8 malam tadi kapal Maritim Malaysia berjaya mengambil kedua-dua mangsa, kemudian dibawa balik ke sini dan tiba jam 3 pagi.
"Jarak dari sini ke sempadan perairan adalah kira-kira 60 batu nautika dan kita mendapat kerjasama yang baik dengan nelayan di sana yang membantu membawa mangsa ke sempadan.
"Kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat dan dibawa ke hospital bagi dapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini.
Muhammad Ikmal (kiri) bersama Nor Hasrul ketika ditemui media di Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
Sehubungan itu Sazalee berkata pihaknya menasihati komuniti nelayan supaya memastikan peralatan penangkapan ikan dan enjin dalam keadaan lengkap dan baik.
"Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, segera lapor kepada pihak berkuasa atau persatuan nelayan," katanya lagi.
Hadir sama Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Komander Maritim Nak Rong Si Prom.
Sementara itu, keluarga kedua-dua mangsa ketika ditemui melahirkan rasa syukur ketika menyambut kepulangan anak mereka.
"Saya terima pesanan menerusi telefon daripada Ajiboy (Muhammad Ikmal Hakimi) pada jam 5 pagi tadi memaklumkan bahawa dia sudah sampai di Pulau Pinang namun tidak dapat bertanyakan lanjut.
"Kini sudah ada depan mata, saya yakin ini bukan mimpi. Terima kasih kepada agensi penyelamat, unit nelayan dan semua yang melakukan solat sunat hajat. Budi dan jasa semua Tuhan saja boleh membalasnya," kata Hanita Ismail, 47, yang hadir bersama suami, Ismail Ibrahim, 51.
Noor Azilah Jamaluddin, 44 berkata, dia tidak menghalang anaknya turun ke laut namun menasihati mereka supaya lebih berhati-hati.
"Kejadian ini diharap menjadi pengalaman berguna dan ilmu pengetahuan terhadap semua yang mereka lakukan," kata ibu kepada Nor Hasrul itu.
Sebelum ini media melaporkan dua rakan itu dikhuatiri hilang Selasa lalu, selepas bot yang dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di sini, berikutan mengalami masalah enjin.
Sabtu lalu, operasi pencarian dan penyelamatan (SAR) kedua-dua mangsa dihentikan susulan selepas pasukan penyelamat tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.
Operasi berkenaan sudah meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika persegi (8,884 kilometer persegi) sepanjang lima hari.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340313/dua-mangsa-bot-hanyut-selamat-tiba-di-pulau-pinang
|