Operasi SAR kesan dua hilang di laut dihentikan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 21, 2024 @ 5:04pm [email protected]
Ahli keluarga kepada dua lelaki yang hilang dalam kejadian bot hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, mendengar taklimat mengenai operasi pencarian dan penyelamatan Maritim Malaysia. - Foto NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI
BALIK PULAU: Operasi pencarian dan penyelamat (SAR) dua lelaki yang hilang dalam kejadian bot hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, sejak Selasa lalu dihentikan hari ini.
Keputusan itu diambil selepas usaha pencarian Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, serta rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, tidak menemukan sebarang petunjuk.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, operasi berkenaan sudah meliputi kawasan sejauh 4,802 batu nautika persegi (8,884 km persegi) sepanjang lima hari.
Ia membabitkan seramai 90 anggota pelbagai agensi, menggunakan aset udara dan laut serta kerjasama nelayan setempat di sekitar Balik Pulau dan Teluk Bahang.
"Hari ini kita tamatkan pencarian namun pihak Maritim Malaysia dan nelayan tempatan akan teruskan.
"Tidak ada petunjuk, jika bot pecah atau karam mesti ada (serpihan) sedangkan perairan kita juga banyak nelayan, malah sepanjang operasi cuaca juga dalam keadaan baik.
"Polis juga akan mendapatkan bantuan dari negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand bagi mengesan kedudukan mangsa.
"Bot berkenaan juga milik persendirian yang disewa serta tidak berdaftar dengan persatuan unit nelayan," katanya kepada media, hari ini.
Sazalee ditemui ketika meninjau Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC), Dewan Komuniti Nelayan Kampung Sungai Pinang, di sini, hari ini yang turut dihadiri keluarga kedua-dua mangsa.
Sebelum ini, dilaporkan kehilangan dua rakan itu kira-kira jam 11.30 malam selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai hanyut berikutan masalah enjin.
Dua sahabat itu Muhammad Ikmal Hakimi yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah.
Semalam, bapa Muhamad Ikmal, Ismail Ibrahim, 51, merayu orang ramai melakukan solat sunat hajat bagi memudahkan urusan pencarian kedua-dua mangsa termasuk anaknya
Sementara itu, ibu Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, berkata, sebagai ibu, dia sentiasa mendoakan keselamatan anaknya dan berharap dapat ditemukan segera.
"Dia sudah biasa turun ke laut selain melakukan kerja kampung bagi menambah pendapatan.
"Sekiranya dia ditemukan selamat, saya mahu buat kenduri kesyukuran dan masak gulai ayam kegemarannya.
"Jika sebaliknya, saya reda namun tetap mahu melihat jasad Nor Hasrul," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1339786/operasi-sar-kesan-dua-hilang-di-laut-dihentikan
|