Edited by sfhzuraz at 21-12-2024 03:56 PM
'Selagi belum jumpa jasad, saya yakin anak masih hidup'
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
21 Disember 2024 11:47am
Operasi SAR akan ditamatkan pada Sabtu selepas tiada petunjuk ditemui sejak ia dilancarkan pada Selasa lalu. (Gambar kecil) Muhamad Ikmal (kiri) dan Nor Hasrul yang dilaporkan hilang di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang, sejak Isnin lalu.
BALIK PULAU - "Selagi belum jumpa jasad, saya yakin anak saya masih hidup."
Itu luahan Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, bapa tiri kepada Nor Hasrul Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Selasa lalu.
Kata Mohamad Fitri, walaupun pencarian tidak menunjukkan sebarang petunjuk, namun naluri seorang bapa mengatakan anak tirinya yang dipelihara sejak kecil itu masih hidup.
"Selagi tak jumpa jasad, saya yakin dia masih 'ada'. Saya harap, hari ini hari terakhir pencarian, dapat jumpalah. Bagaimanapun, saya reda dengan apa sahaja yang akan berlaku.
"Jika dia tak selamat pun, sekurang-kurangnya biarlah jumpa jasad atau pun bot yang mereka naiki. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang sudah berlaku, daripada sekarang ini, langsung tak ada petunjuk," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohamad Fitri yang juga siak di Masjid At-Taqwa Kongsi Balik Pulau menambah, dia dan jemaah masjid sudah mengadakan solat hajat bagi memohon supaya Nor Hasrul dan rakannya, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, ditemui.
]
Pelbagai agensi menyertai operasi SAR yang bermula sejak Selasa lalu.
Bercerita lanjut, Mohamad Fitri berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak tirinya itu dua bulan lalu.
"Dia tak duduk dengan saya, dia duduk rumah bujang di Kuala Sungai Pinang. Dia memang anak yang baik dan rajin bekerja.
"(Selama) 15 hari dia akan turun ke laut manakala 15 hari lagi, dia buat kerja kampung. Antara kerja kampung yang dia buat mesin rumput, bertukang rumah dan banyak lagi," katanya.
Ujarnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa Nor Hasrul pada Selasa lalu menerusi aplikasi WhatsApps.
"Ketika itu saya baru lepas bersihkan masjid, saya buka WhatsApp. Ada baca berita orang hilang di grup, tak sangka pula ada nama anak saya. Saya telefon rakan di Kuala Sungai Pinang untuk kepastian dan memang benar salah seorang yang hilang itu anak tiri saya.
"Selalunya Nor Hasrul akan turun ke laut bersama dengan nelayan lain, tak tahu pula kali ini dia pergi dengan kawannya sahaja. Saya memang tak tahu perkara ini sebab dia selalu turun ke laut," katanya.
Mengakhiri perbualan, Mohamad Fitri memohon seluruh rakyat Malaysia supaya berdoa dan mengadakan solat hajat agar anak tirinya itu selamat ditemui.
Sementara itu, bapa kepada Muhammad Ikmal, Ismail Ibrahim, 51, berkata, dia dan keluarganya juga reda dengan apa sahaja ketentuan ALLAH SWT namun masih berharap anak keempat daripada lima beradik itu ditemui.
"Saya harap anak saya ditemui dalam keadaan apa pun.
"Kami kena reda, kalau kita tak mahu reda pun tak boleh buat apa.Tuhan dah tentu keadaan dia macam itu, kami harap dapat dalam keadaan eloklah mereka," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, dia dan keluarga telah dimaklumkan pihak berkuasa akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada Sabtu berikutan tiada pentunjuk diperolehi sejak ia dilancarkan pada Selasa lalu.
]
Operasi SAR diteruskan pada hari kelima selepas dua lelaki dilaporkan hilang ketika memukat ikan di perairan Pantai Keracut.
"Buat masa ini, tiada petunjuk yang nampak di mana lokasi anak saya dan rakannya itu berada. Pihak Maritim ada beritahu semalam (Jumaat), mereka dah ke lokasi selepas dimaklumkan ada nelayan nampak bot seperti dinaiki anak saya.
"Namun bila pihak Maritim Malaysia mencari di situ, tiada apa-apa petunjuk ditemui. Nelayan pun ada cari di sekitar lokasi tersebut tetapi masih tiada. Saya harap, hari terakhir ini, adalah petunjuk yang ditemui," katanya.
Sebelum ini media melaporkan dua lelaki, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul hilang selepas bot yang dinaiki hanyut kerana kerosakkan enjin pada Selasa.
https://www.sinarharian.com.my/article/703324/edisi/utara/selagi-belum-jumpa-jasad-saya-yakin-anak-masih-hidup
|