Lima hari hilang di laut, ibu mimpi anak dan rakan selamat di pulau
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 21, 2024 @ 12:02pm[email protected]
Gerakan mencari dua lelaki yang hilang sejak Selasa lalu diteruskan hingga hari ini. - Foto hiasan BERNAMA
BALIK PULAU: "Semalam isteri saya bermimpi Hakimi dan Hasrul selamat, kini berada di sebuah pulau. Di situ ada pokok nipah dan pondok kosong.
"Hakimi dan Hasrul nak balik, tapi tangan Hakimi sakit. Ada 'seseorang' halang dan tidak benarkan mereka pulang."
Begitu kata Ismail Ibrahim, 51, mengenai mimpi yang dialami isterinya malam tadi selepas anak mereka Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22 dan rakan Nor Hasrul Abdullah, 25, hilang di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, sejak Selasa lalu.
Bagaimanapun, Ismail berkata mereka sekeluarga menganggap mimpi itu sebagai mainan tidur.
"Mungkin isteri terlalu risau dan teringat kepada anak kami, sampai termimpi-mimpi.
"Bukanlah kami anggap sebagai petunjuk, tetapi mungkin ia cuma mainan tidur. Ibu bapa mana yang tidak risau jika kejadian seperti ini menimpa anak mereka," katanya dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan rayuan Ismail kepada orang ramai bagi diadakan solat sunat hajat memohon supaya dipermudah urusan pencarian kedua-dua mangsa termasuk anaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim dalam kenyataan media pula berkata, operasi akan diteruskan hingga hari ini jika masih tiada petunjuk baharu yang diperoleh.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1339653/lima-hari-hilang-di-laut-ibu-mimpi-anak-dan-rakan-selamat-di-pulau
|