Georgetown: Pulau Pinang menyasarkan tempoh 40 hari untuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang bagi memulakan projek pembangunan Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ia sebagai menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek usahasama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menerusi anak syarikatnya PDC Properties dengan SkyWorld Development Bhd (SkyWorld) itu dapat disegerakan.
Chow berkata, sehubungan itu, langkah awal telah dimulakan PDC minggu ini dengan mengadakan bengkel antara pihak terlibat termasuk pihak teknikal dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membincangkan perkara tersebut.
"Lazimnya mengikut prosedur OSC (One Stop Centre) sekarang, paling cepat MBSP boleh proses permohonan (untuk kelulusan plan kebenaran merancang) adalah dalam tempoh 58 hari, jadi bukan mudah untuk capai sasaran 40 hari itu kerana pemohon (pemaju) perlu sediakan semua pelan berkaitan selain mematuhi kriteria dan lain-lain perkara untuk penilaian agensi teknikal.
"Sebab itu, Datuk Aziz Bakar (Ketua Pegawai Eksekutif PDC) mulakan satu misi, mengadakan bengkel pada minggu ini dengan membawa MBSP dan semua agensi teknikal untuk merancang proses ke belakang, apa yang mesti dicapai setiap hari dalam tempoh 40 hari akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Natal PDC dan Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak pemaju akan menghantar pelan pada 2 Januari 2025, maka tempoh 40 hari bermula pada hari tersebut.
Chow memaklumkan Perdana Menteri telah menetapkan pertengahan Februari 2025 sebagai tarikh untuk majlis pelancaran projek itu, justeru beliau yakin penilaian dapat dibuat dengan kadar segera sekiranya semua pelan dikemukakan secara teratur.
Pada 10 Disember lalu, Anwar menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang, disifatkan sebagai nilai pembangunan terbesar bagi rumah mampu milik dalam sejarah negara.
Projek di kawasan Seberang Jaya dan Bandar Cassia di Batu Kawan itu bakal menyediakan 35,000 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Bakat Baru MADANI dengan harga antara RM225,000 dan RM420,000.
Mengulas lanjut, Chow berkata projek itu penting bagi menyediakan rumah mampu milik untuk bakat baru yang mengisi jawatan dalam sektor industri seperti pekerja teknikal, jurutera serta lepasan institusi pengajian tinggi.
"Mereka dari luar Pulau Pinang iaitu dari lain-lain negeri juga layak untuk memohon. Sekiranya mereka bekerja di sini, maka mereka boleh mohon, selanjutnya mungkin PDC boleh berkolaborasi dengan pihak kilang dengan menawarkan satu pakej insentif iaitu majikan boleh membantu membayar deposit dan sebagainya untuk mengekalkan bakat kita di sini," katanya.
Beliau memberitahu kesemua 35,000 unit rumah tersebut tidak dibangunkan sekali gus sebaliknya secara berfasa selama tempoh 15 tahun serta mengguna pakai Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) kerana ia lebih cepat dan mudah.