Scammer 'jual' nama IPK Perlis
Oleh Latifah Arifin - Disember 19, 2024 @ 8:01am [email protected]
Tular video 'scammer' menyamar sebagai anggota polis dengan panggilan video dibuat berlatarbelakangkan IPK Perlis. - Foto TikTok Polis Perlis
KUALA LUMPUR: '"Nampak macam sama, tapi bukan dia!"
Demikian peringatan dikongsi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah susulan tular video 'scammer' menyamar sebagai anggota polis dengan panggilan video dibuat berlatarbelakangkan IPK Perlis.
Wan Aeidil dalam satu video di TikTok semalam mengulas kes seorang lelaki dikenali sebagai AR Raveen yang berkongsi video dihubungi seorang scammer menerusi panggilan video untuk mengambil laporan.
Rentetan daripada video yang tular baru-baru ini, pihak polis membuat penafian menerusi satu video di TikTok.
"Untuk makluman semua, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah membuat panggilan video dengan menghubungi mana-mana pengadu atau suspek.
"Ini adalah teknik penipuan sindiket untuk meyakinkan mangsa," katanya menerusi akaun TikTok Polis Perlis, semalam.
Beliau turut meminta masyarakat lebih waspada dan hadir terus ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sahih.
Ini berikutan terdapat pelbagai helah digunakan scammer termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Terdahulu, AR Raveen memuat naik video seorang lelaki menghubunginya menerusi panggilan video dengan memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mohd Fauzi dari IPK Perlis.
Raveen kemudian meminta lelaki terbabit memaparkan wajahnya sebagai bukti beliau bukan scammer tetapi anggota polis yang sah.
Berang kerana terus didesak, 'scammer' itu kemudiannya membuka kamera telefon pintar dan menunjukkan wajah dan pakaiannya yang lengkap beruniform dengan latar belakang lokasi tertera IPK Perlis.
Bagaimanapun, Raveen mempersoalkan tindakan menghubunginya sebagai tidak masuk akal dan ia tidak pernah dilakukan mana-mana anggota polis.
Ia menyebabkan 'scammer' terbabit mula meninggikan suara dan mengecam Raveen yang didakwa 'bodoh' kerana tidak mempercayai panggilan dibuat.
Video terbabit dimuat naik tiga hari lalu dan setakat ini meraih lebih 777,000 tontonan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1338795/scammer-jual-nama-ipk-perlis
|