Balik Pulau: Dua nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki hanyut dalam kejadian di Kuala Sungai Pinang, di sini, semalam.
Kejadian yang menimpa Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, itu dikatakan berlaku kira-kira jam 11.30 malam.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik berkata, pada masa ini operasi pencarian dan penyelamatan masih dilakukan pihak berkuasa.
"Saya terima maklumat daripada bapa seorang mangsa selepas anaknya tidak dapat dihubungi.
"Saya difahamkan oleh tekong yang menerima maklumat awal bahawa bot yang dinaiki dua sahabat itu terdahulu mengalami kerosakan enjin dan ketika itu pula berlaku ribut kuat.
"Operasi mencari dan menyelamat berlangsung sejak semalam, kini masih berterusan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Muhamad Bakhtiar berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berasal dari Pondok Upeh dan Paya Kongsi, di sini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan bahawa menerima laporan berkaitan orang hilang.
"Mangsa yang juga warga tempatan itu dipercayai terbabit dalam kemalangan bot hanyut di Perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang.
"Kedua-dua mangsa menaiki bot berwarna biru dan merah serta tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Sazalee berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh salur kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8664122 atau tampil ke balai terdekat.