Warga emas nyaris maut dihempap pokok ditebangnya
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 18, 2024 @ 5:07pm [email protected]
Anggota BBP Sik membawa lelaki warga emas yang dihempap pokok yang ditebangnya sendiri dengan terpaksa meredah cerun bukit di Kampung Charuk Tenang.NSTP/IHSAN BOMBA
SIK: Seorang lelaki warga emas nyaris maut selepas dihempap pokok yang ditebangnya ketika membersihkan kebun di Kampung Charuk Tenang, di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 79 tahun itu pergi ke kebun bersama isterinya untuk melakukan pembersihan kawasan kira-kira jam 8 pagi tadi.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba pokok yang ditebang itu menghempap mangsa menyebabkan isterinya panik dan terus menghubungi anak perempuan mereka untuk mendapatkan bantuan kerana kawasan kebun itu terletak jauh di kawasan bukit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.37 petang dan sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Soffuan Sabry bersama lima anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Beliau berkata, pasukan bomba berdepan cabaran untuk membawa mangsa turun dari bukit menggunakan pengusung.
"Cabaran utama dihadapi adalah kedudukan kebun itu tidak dapat diakses oleh jentera mahupun kenderaan utiliti dan anggota kami terpaksa berjalan serta mendaki sejauh satu kilometer (km) dan menuruni bukit bercerun 80 darjah untuk membawa mangsa turun.
"Kerja-kerja penyelamatan dilakukan dengan berhati-hati kerana mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi dan kencing manis.
"Terlebih dahulu, pokok yang menghempap mangsa yang juga jenis tumbuh meliar itu turut dialihkan dengan bantuan penduduk serta pasukan bomba sebelum mangsa berjaya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh anggota dari Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan memasang 'Celvical Collar' serta 'lower limb' sebelum diusung keluar.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang hingga ke kaki akibat kejadian itu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1338611/warga-emas-nyaris-maut-dihempap-pokok-ditebangnya
|