Alor Setar: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meneruskan usaha murni dalam tempoh pasca banjir menerusi program Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan Al Falah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, di sini.
Maahad Tarbiah Islamiah itu adalah salah satu institusi pendidikan terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda, baru-baru ini.
Program dianjurkan Mapim bersama rakan strategik Zus Coffee dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Yayasan Wakaf Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, pelbagai aktiviti diadakan untuk membantu meringankan beban penduduk antaranya gotong-royong pembersihan surau yang masih berlumpur dan sesi menyantuni guru selepas rumah mereka dilanda banjir.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut hadir bersama-sama ketua dan wakil 14 agensi untuk berganding bahu dengan petugas, penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pihaknya bersyukur kerana dapat turun padang bersama rakan strategik dan masyarakat setempat dalam usaha pembersihan pasca banjir.
"Keprihatinan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak menunjukkan kasih sayang sesama umat Islam adalah satu nilai yang amat penting dalam menghadapi ujian sebegini.
"Kami berharap usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dan membantu memulihkan semangat penduduk Derang untuk bangkit dan melangkah ke hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sany Araby berkata, bantuan kemanusiaan juga disampaikan kepada penduduk di mukim Derang yang terjejas bagi meringankan beban mereka.
Menurutnya, Mapim Mobile Kitchen turut memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan panas kepada petugas dan penduduk yang memerlukan.
"Saringan perubatan percuma oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan Mapim Double Decker Mobile Clinic juga diadakan dengan lebih 80 penduduk menerima rawatan.
"Selain itu, semua pihak turut bersama-sama membersihkan kawasan maahad yang terjejas oleh banjir dengan penuh keikhlasan dan semangat kebersamaan," katanya.
Katanya, program berkenaan bukan hanya bertujuan meringankan beban mangsa banjir, malah menguatkan ikatan perpaduan dan kasih sayang sesama insan.
"Diharapkan segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat.
"Kami berdoa segala urusan dipermudahkan dan diberikan kekuatan kepada semua pihak terbabit dalam usaha murni ini.
"Mapim berharap program ini dapat memperkukuhkan hubungan silaturrahim serta menyemarakkan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat," katanya.