Kepala Batas: Polis Pulau Pinang melupuskan 4,891 unit barangan kes jenayah bernilai lebih RM1.5 juta menggunakan kaedah e-sisa sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pemangku Ketua Polis negeri Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata ia menjadi satu usaha menyahut pelaksanaan inisiatif amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau melalui 'Go Green PDRM'.
Katanya, polis melaksanakan pelupusan barang kes jenayah dari tahun 2021 hingga 2024 membabitkan lima daerah mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.
"Pelupusan tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 407 (2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593)
"Hari ini sejumlah 4,891 unit barangan kes iaitu 1,337 (kes bitcoin), 494 unit (barangan kes am), 2,360 unit (karton rokok), 700 unit (karton arak berkait kontraban akan dilupuskan.
"Ia membabitkan keseluruhan 506 kertas siasatan yang telah mendapat arahan pelupusan barang kes daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya dengan nilai keseluruhan lebih RM1.5 juta.
Beliau berkata demikian pada majlis pelupusan barangan kes berkenaan di Stor Barang Berpusat Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.
Katanya, semua barang kes itu dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.
"Kaedah ini adalah untuk memastikan tiada pencemaran terhadap alam sekitar yang mana kontraktor dilantik akan menguruskan pelupusan bagi memastikan ia dilupuskan secara teratur dan selamat.
"Kita berterima kasih kepada syarikat kontraktor yang dilantik kerana sudi bekerjasama dengan PDRM Pulau Pinang untuk menjayakan proses pelupusan barang kes ini," katanya.