Kereta bertembung, dua maut dua cedera parah
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 18, 2024 @ 12:13am [email protected]
Keadaan kereta Mecedes Benz yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lencong, Alor Setar. Foto NSTP/ ZULIATY ZULKIFFLI.
ALOR SETAR: Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lencong Barat, di sini hari ini.
Difahamkan, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Mercedes Benz dengan sebuah kereta jenis Hyundai berhampiran pusingan U.
Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, seorang daripada mangsa yang maut berada di atas bumbung kereta Mercedes Benz manakala seorang lagi berada di atas jalan.
Dua lagi mangsa yang parah pula turut berada di atas jalan raya manakala pemandu kereta Hyundai itu dipercayai mengalami cedera ringan.
Berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, kereta Mercedes terbabit dipercayai terbalik beberapa kali selepas kemalangan sebelum berhenti di atas pembahagi jalan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Salim Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 8.53 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi didapati, didapati kemalangan itu membabitkan dua kereta yang dipercayai bertembung.
"Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Tindakan operasi yang dilakukan adalah dengan mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan ambulans KKM," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1338300/kereta-bertembung-dua-maut-dua-cedera-parah
|