Suspek yang hanya dikenali Aci kini jadi buruan polis bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.
MUKAH: Polis Mukah giat mengesan seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang pekerja ladang kelapa sawit di sini semalam.
Mangsa, lelaki warga asing berumur 29 tahun ditemui maut dengan kecederaan parah di bahagian leher dan perut akibat ditetak menggunakan objek tajam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata siasatan awal mendapati motif kejadian adalah akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Suspek dikenali sebagai Aci juga seorang warga asing berusia lingkungan 30-an dan berketurunan Bugis telah melarikan diri ke kawasan ladang sejurus selepas insiden itu.
"Operasi kesan dilancarkan dengan kerjasama Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk menjejaki suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Rizal memberitahu, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek untuk menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Jarraw Madong di talian 013-8335929 atau balai polis berdekatan.
"Sebarang maklumat daripada orang ramai amat penting untuk membantu siasatan kes ini," jelasnya.
|