Arau: Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) diperkukuhkan terutama dari segi pemerkasaan guru selaras pendekatan baharu bakal diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Ini termasuk memberikan penekanan kepada kepakaran guru dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam pengajian al-Quran dan hadis serta pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pemerkasaan TMUA tidak hanya memberi tumpuan kepada pelajar sahaja, sebaliknya memperkasakan kepakaran guru dalam pelaksanaan TMUA di sekolah terpilih.
"Pemerkasaan TMUA ini dalam Kurikulum 2027 ini adalah sebagai suatu pengukuhan di mana kita akan melihat kepada soal menambah keperluan tertentu disebabkan permintaan sangat tinggi (daripada pihak sekolah dan ibu bapa) dalam pelaksanaan TMUA ini.
"Dalam masa sama, kita sedang melihat bagaimana boleh memperkasakan guru kerana guru yang mengikuti modul TMUA ini mempunyai kepakaran tertentu supaya dapat memberikan tumpuan kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan tambahan asrama TMUA dan lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di sini, sempena Program Ziarah Madani Zon Utara 2024, hari ini.
Katanya, selain pengajian hafazan al-Quran, kerajaan juga mahu penekanan terhadap pengajian STEM yang menjadi sebahagian daripada silibus TMUA.
"Kurikulum Pendidikan Kebangsaan di sekolah yang menjalankan TMUA ini adalah sama seperti sekolah biasa, cuma ia ada program khas yang memberi tumpuan lebih terutamanya kepada program hafazan al-Quran.
"Terdapat mekanisme serta kelas tertentu yang mesti mereka hadiri untuk memastikan mereka menjadi sebahagian daripada pelajar yang mengikuti program TMUA ini," katanya.
Fadhlina berkata, sehingga tahun ini terdapat 15 sekolah di seluruh negara yang menjalankan program TMUA termasuk SMKA Arau dan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan ke sekolah agama yang lain.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan belum meluaskan program TMUA kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Tujuan TMUA ini adalah untuk menghasilkan ulama dan umarak di mana ulama ini berdasarkan hafazannya dan umarak pula berlandaskan kepada penguasaan mereka terhadap STEM.
"Secara keseluruhannya, kita mahu sekolah yang mempunyai program TMUA dan STEM ini menjadi pilihan ibu bapa di seluruh negara," katanya
Katanya, selepas sedekad pelaksanaan TMUA ini, lebih 7,000 huffaz al-Quran berjaya dilahirkan di mana program ini memberi impak kepada negara apabila ia menjadi pilihan utama ibu bapa.