Edited by sfhzuraz at 17-12-2024 11:52 AM
Kemelut PN: Bersatu, Pas Kedah tidak terkesan dengan ‘usikan’ politik
ROSLINDA HASHIM
17 Disember 2024 11:28am
Mohd Salleh (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil disaksikan Ahmad Fakhruddin (dua dari kanan) dan Rashidi (kanan).
KUBANG ROTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah dan Pas Kedah tidak terkesan dengan desas-desus yang mendakwa kedua-dua parti itu berdepan kemelut politik di peringkat Pusat.
Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kerjasama antara wakil rakyat kedua parti itu juga erat dan tidak sedikit pun goyah dengan ‘usikan’ politik pihak lawan.
Menurut Exco Kedah itu, kebersamaan pemimpin Bersatu dan Pas itu juga diterjemahkan menerusi kehadiran wakil rakyat Pas dalam program anjuran Bersatu.
“Mana ada (kemelut) kami (wakil rakyat Pas dan Bersatu) ‘steady’ saja. Tak terjejas apa pun, kami buat kerja ikhlas dan hari ni bersama-sama dalam program.
“Kami betul-betul ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan negeri ini. Tidak main politik-politik sangat, semua dalam Perikatan Nasional (PN) cun-cun (elok-elok) saja,” katanya pada sidang akhbar selepas program sumbangan pasca banjir DUN Kubang Rotan pada Isnin.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak.
Mohd Salleh yang juga ADUN Kubang Rotan tegaskan, kebersamaan mereka dalam program berkenaan menjadi bukti dakwaan PN semakin ‘retak’ sekadar khabar angin.
“Kami bersama dalam program ini, kita juga agihkan sumbangan kepada sahabat kita di DUN Anak Bukit. Ini menunjukkan kebersamaan kami. Sehingga kini, kami kukuh, insya-ALLAH,” katanya selepas mengagihkan bakul makanan kepada 350 penerima.
Kedua-dua pemimpin Pas tersebut turut senada dengan kenyataan Mohd Salleh.
“Kami di Kedah bekerja dalam satu pasukan bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Sebarang masalah atau isu berbangkit kami hadapi bersama.
“Hubungan antara Pas dan Bersatu baik, tidak ada masalah,” kata Rashidi.
Sementara Ahmad Fakhruddin enggan mengulas lanjut dan sekadar mengiyakannya.
Sebelum ini, menyaksikan beberapa siri pertembungan antara kedua-dua parti menimbulkan tanda tanya sehingga wujud dakwaan gabungan tersebut tidak lagi sehaluan.
Terbaharu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan melepaskan jawatan beliau sebagai Bendahari Agung PN.
Kontroversi yang melanda parti itu dipercayai bermula apabila Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal Perdana Menteri (PM) mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan parti itu lebih layak memimpin PN, sekali gus menolak cadangan Presiden Bersatu itu kekal sebagai calon perdana menteri gabungan itu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu dipetik berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin selain mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.
Sementara Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar menyifatkan tindakan beberapa pimpinan parti komponen 'gelojoh' kerana terlalu awal mencadangkan calon Perdana Menteri bagi PN.
Kontroversi lain termasuk Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mencadangkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu, namun Muhyiddin melantik Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
https://www.sinarharian.com.my/article/702612/berita/politik/kemelut-pn-bersatu-pas-kedah-tidak-terkesan-dengan-usikan-politik
|