Polis kesan taktik menipu menyamar sebagai agensi kerajaan minta sebut harga
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 17, 2024 @ 8:23am [email protected]
ALOR SETAR: Polis mengesan satu taktik baru yang membabitkan penipuan dengan cara menyamar sebagai agensi kerajaan untuk memperdaya mangsa iaitu pemilik perniagaan untuk mendapatkan sebut harga.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata melalui modus operandi terbaru itu, suspek akan memperdaya mangsa dengan cara menawarkan perniagaan melalui satu sebut harga perkhidmatan perniagaan untuk menyediakan bekalan kerajaan.
Seterusnya suspek akan melantik mangsa untuk menguruskan perkhidmatan perniagaan terbabit.
"Dalam masa yang sama, suspek juga akan memaklumkan untuk meneruskan perkhidmatan perniagaan terbabit dan bekalan itu perlu melalui pembekal yang dilantik suspek.
"Mangsa kemudian akan berurusan dengan suspek yang menyediakan bekalan dan seterusnya akan membuat pembayaran untuk bekalan.
"Selepas pembayaran dibuat, barulah mangsa akan menyedari ditipu apabila suspek gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Loi berkata, setakat ini Polis Kedah menerima empat laporan yang membabitkan kes penipuan perkhidmatan perniagaan seperti ini.
Beliau berkata, dalam pada itu, pihaknya menerima laporan berkaitan satu kes penipuan yang berlaku apabila suspek menyasarkan penawaran perkhidmatan perniagaan katering untuk satu majlis dengan menggunakan nama agensi kerajaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM64,850.
"Hasil siasatan mendapati, sindiket ini akan menempah makanan dalam kuantiti yang banyak untuk satu majlis secara dalam talian dengan menyamar sebagai agensi kerajaan.
"Mangsa yang juga pemilik perniagaan katering di sekitar negeri ini dikatakan berurusan melalui panggilan telefon yang dihubungi suspek sindiket ini yang membuat tempahan makanan dan cenderahati yang mana cenderahati itu perlu dibayar oleh mangsa kepada pembekal lain yang juga suspek.
"Mangsa dijanjikan dengan bayaran penuh bagi tempahan katering dan cenderahati terus kepada mangsa," katanya.
Loi berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran itu namun menyedari ditipu selepas mendapati majlis itu tidak wujud pada hari majlis berkenaan dan selepas mangsa membuat semakan dengan agensi kerajaan terbabit.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan dalam talian dengan menyara sebagai agensi kerajaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1337917/polis-kesan-taktik-menipu-menyamar-sebagai-agensi-kerajaan-minta-sebut
|