Georgetown: Seorang wanita nekad masuk ke dalam rumahnya yang sedang terbakar bagi menyelamatkan anjing peliharaan.
Dalam kejadian di
Ladang Hong Seng, Mount Erskine itu, wanita yang enggan dikenali berusia 40-an berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Katanya, dia yang baharu sahaja pulang dari kerja diberitahu abang mengenai anjingnya yang masih berada di dalam rumah.
"Saya jangka anjing berkenaan berada di bahagian depan rumah sebelum nekad masuk.
"Mujurlah ia masih hidup dan kami tidak alami sebarang kecederaan," katanya di sini.
Wanita itu antara mangsa kejadian kebakaran membabitkan sebanyak tujuh rumah ladang, jam 6 petang tadi.
Sementara itu, mangsa, Steven Morgan, 50, berkata, terdahulu dia terdengar bunyi letupan kuat sebelum anaknya berusia 16 tahun menyedari terdapat kepulan asap.
Dia yang kebingungan kemudian bergegas menyelamatkan isteri dan anak tanpa sempat mengambil sebarang dokumen penting.
"Kami tidak sempat ambil apa-apa barangan termasuk dokumen pengenalan diri dan hanya fikir hendak selamatkan diri.
"Rumah kami musnah sama sekali dan pada masa ini, saya tidak dapat menganggar jumlah kerugian namun bersyukur semua ahli keluarga dan jiran selamat," katanya.
Katanya, dia tidak mengetahui punca kebakaran namun dipercayai ia bermula daripada sebuah rumah yang menyimpan dan memperbaiki pelbagai jenis peralatan elektrik.
Katanya, kira-kira empat tahun lalu, kejadian serupa berlaku menyebabkan sebahagian rumahnya terbakar.
"Kali ini semuanya hangus, tiada apa yang tinggal dan kini saya buntu mahu tinggal di mana.
"Difahamkan wakil rakyat sedang menguruskan penempatan sementara buat kesemua mangsa," katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai kejadian itu yang menyebabkan 21 mangsa tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh rumah musnah terbakar.