Georgetown: Sebanyak tujuh rumah di Estet Hong Seng, Jalan Mount Erskine di sini, musnah terbakar dalam kejadian kira-kira 6 petang, hari ini.
Difahamkan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berdepan kesukaran ke lokasi berikutan laluan masuk ke rumah ladang itu yang sempit.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Mohd Nazril Hisyam Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.40 petang dan 25 anggota ke lokasi kejadian dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Ketika hampir tiba di lokasi, didapati laluan masuk ke tempat kejadian agak sempit dan berikutan itu pergerakan jentera bomba menjadi perlahan.
"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal api daripada merebak," katanya ketika ditemui di lokasi.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran tujuh rumah di Hong Seng Estate, Jalan Mount Erksine, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.
Mohd Nazril Hisyam berkata, api perlu dikawal dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang dalam keadaan rapat antara satu sama lain.
"Kebakaran berkenaan tidak membabitkan mangsa. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, kebakaran itu membabitkan seramai 21 mangsa dan kini pihaknya sedang mengambil maklumat.
"Kebanyakan mangsa kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen pengenalan diri.
"Pada masa ini, kami berusaha bagi menentukan bantuan kilat termasuk tempat tinggal sementara kepada mangsa," katanya.