Jaga hubungan baik dengan gabungan parti kerajaan Perpaduan - Pengerusi BN
Oleh Nur Izzati Mohamad - Disember 15, 2024 @ 5:34pm[email protected]
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena., hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Semua komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Friends of BN diingatkan terus menjalin hubungan baik dengan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia penting bagi memastikan kejadian kerajaan rapuh seperti penggal lalu tidak berulang semula.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata akibat masalah itu, negara terpaksa menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.
"InsyaAllah dengan dokongan BN, dokongan rakan-rakan lain di dalam Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
"Disebabkan itu, kita mahu melihat jalinan hubungan antara UMNO, MCA, MIC dan rakan-rakan dalam Friends of BN terus menjadi penyumbang utama kepada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Malaysia pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui terdapat banyak cabaran dihadapi kerajaan sekarang sama ada di luar mahu pun dalaman.
Namun, katanya, semua itu mampu diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, tidak ada cabaran di luar yang tidak boleh kita selesaikan. Segala-galanya memerlukan kebijaksanaan Perdana Menteri .
"Beliau (Anwar) anak Pulau Pinang, orang Pulau Pinang harus berbangga walaupun beliau bertanding di negeri saya, di Tambun.
"Tidak apa. InsyaAllah kita harap beliau akan balik ke Permatang Pauh untuk menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1337346/jaga-hubungan-baik-dengan-gabungan-parti-kerajaan-perpaduan
|