Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan Yayasan Asean sebagai satu entiti untuk membantu menangani pelbagai isu antaranya bencana alam dan kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, resolusi yang dicadangkan pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu boleh menguruskan hal-hal berkaitan pemindahan organ, sama ada dari segi dana atau penyertaan negara-negara ahli untuk menderma organ bagi tujuan kepentingan bersama Asean.
Menurutnya, cadangan penubuhan yayasan itu dilihat mampu dilaksanakan susulan Malaysia akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun depan.
"Cadangan ini bergantung kepada kelulusan negara-negara ahli (Asean) yang lain (sekiranya mereka bersetuju).
"Bagi kita, tujuan (mewujudkan Yayasan Asean) supaya dana dapat dikumpulkan bagi menangani bencana dialami oleh negara-negara dalam Asean yang tidak memerlukan peruntukan secara terus daripada negara-negara berkenaan.
"Sebaliknya, menggunakan dana daripada Asean Foundation ini dan keduanya, terdapat masalah transplan iaitu pendermaan organ. Oleh kerana kita dapati Asean adalah di antara rantau paling kurang pendermaan organ (dalam) rakyat berbanding dengan EU (Kesatuan Eropah) dan beberapa wilayah lain," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvesyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Pusat Konvesyen PICCA Butterworth Arena, di sini, hari ini.
Katanya, beliau akan membawa cadangan resolusi itu untuk perhatian dan pertimbangan Perdana Menteri.
"Kita (Malaysia) bukan hanya (mahu) menyelesaikan permasalahan perdagangan, diplomasi, ekonomi, kewangan, tetapi mahu Asean Foundation ini diwujudkan dalam menyelesaikan pelbagai isu yang ia tidak semestinya diselesaikan melalui inter-government solutions," katanya.