|
Teruk dikecam netizen, pelakon Fattah Amin tampil mendedahkan situasi sebenar selepas tular video memaparkan seorang wanita didakwa cuba memegang dan menyentuh lengannya ketika menghadiri sebuah acara, baru-baru ini.
Bukan sengaja mencipta gimik, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, berkata wanita terbabit merupakan kru majlis yang bertugas mengiringinya sepanjang acara berlangsung.
“Wanita itu sebenarnya petugas penganjur. Ketika itu, dia hanya cuba membantu saya bergerak ke bawah pentas bagi memastikan atur cara acara berjalan lancar.
“Dia hanya cuba nak cepatkan pergerakan saya. Tapi kebetulan kamera banyak menyorot situasi itu sampaikan buat anggapan tidak baik tentangnya.
“Ketika itu, saya pun tidak rela disentuh. Malah, tangan saya berada dalam poket. Saya yakin dia tidak berniat sesuka hati menyentuh saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelakon Hero Seorang Cinderella itu, kejadian tersebut di luar jangkaannya sehingga mencetuskan kecaman terhadap petugas tersebut dalam media sosial.
“Kasihan juga dekat dia kerana isu ini sebenarnya di luar kawalan.
“Saya sendiri terkejut apabila perkara ini menjadi perbualan ramai,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media super telemovie Larian Terakhir, semalam.
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal muncul dengan super telemovie terbaharu berjudul Larian Terakhir yang akan ditayangkan mulai 15 Disember ini.
Menghidupkan watak sebagai seorang pelari berbakat, duda anak seorang itu menyifatkan projek tersebut sebagai peluang untuk mencabar kemampuan diri.
“Watak kali ini sangat mencabar dari segi stamina dan mengundang risiko kecederaan, tetapi saya tetap terima kerana mahu keluar dari zon selesa.
“Sebagai pelakon, saya sentiasa mencari peluang mencuba karakter yang belum pernah dibawakan sebelum ini. Saya harap peminat akan menyukai hasilnya,” katanya.
Selain Fattah, telemovie berkenaan turut dibintangi Amyra Rosli dan Fahrin Ahmad. Larian Terakhir boleh ditonton menerusi aplikasi Unifi TV dan saluran Degup.
SUMBER : – KOSMO! ONLINE |
|