Alor Setar: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, yang ditutup akibat banjir sejak 10 hari lalu, kembali beroperasi hari ini.
Pengurusnya, Ikram Alif Mansoor berkata, sejumlah 14 penerbangan keluar dan masuk dijadual melalui LTSAH, membabitkan laluan domestik dari Kuala Lumpur, Subang dan Johor Bahru.
"Bermula hari ini (9 Disember), operasi penerbangan LTSAH dibuka semula selepas ditutup sejak 29 November lalu, berikutan kejadian banjir yang melanda.
"Kami dijadual menerima 14 penerbangan membabitkan tujuh ketibaan dan tujuh pelepasan perjalanan termasuk pesawat Batik Air yang memulakan operasinya hari ini," katanya ketika ditemui di LTSAH di sini.
Pengurusnya, Ikram Alif Mansoor berkata, sejumlah 14 penerbangan keluar dan masuk dijadual melalui LTSAH, membabitkan laluan domestik dari Kuala Lumpur, Subang dan Johor Bahru.
"Setakat pagi ini, semua penerbangan masuk dan keluar melalui LTSAH adalah berjalan lancar dan kita jangka operasi hari ini, akan mengikut jadual ditetapkan.
"Mengenai landasan pula, kakitangan MAB akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan mengikut syarat ditetapkan," katanya.
Dalam kejadian banjir yang melanda negeri ini pada 29 November lalu, kawasan sekitar Kepala Batas termasuk landasan utama LTSAH dinaiki air, menyebabkan lapangan terbang terbabit ditutup sepenuhnya.
Bencana terbabit turut menjejaskan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menempatkan Kolej Tentera Udara (KTU) apabila air banjir memasuki kawasan hangar menempatkan pesawat latihan Pilatus PC-7.