Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat Surau Kampung Belah Dua, di sini yang berusia hampir empat dekad yang pernah dirasmikannya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1985.
Terdahulu, kehadiran Menteri Kewangan berkenaan disambut ahli jawatankuasa surau berkenaan sebelum dibawa meninjau keadaan semasa rumah ibadat berkenaan.
Anwar merasmikan surau terbabit 39 tahun lalu iaitu pada 30 November 1985.
Ketika lawatan berkenaan, Pengerusi jawatankuasa surau, Fadzli Md Kassim berkesempatan menyerahkan dokumen permohonan pembinaan surau baharu sebelum beliau beredar untuk merasmikan Jualan Rahmah Madani di Kampung Masjid Timah.
Fadzli berkata, penduduk setempat amat teruja dengan kehadiran Anwar yang pernah merasmikan surau dua tingkat berkenaan.
Malah katanya, jemaah juga masih mengingati pemimpin berkenaan datang bersolat di surau itu dan membantu memastikan lantai yang berbunyi ditukar segera.
"Sehingga sekarang kami mengingati jasa beliau yang banyak membantu meningkatkan keselesaan jemaah melakukan amal ibadah dan aktiviti keagamaan.
"Bagaimanapun, sudah ramai jemaah yang berusia tidak bersolat di sini kerana tidak mampu menaiki tangga untuk ke tingkat atas berikutan bahagian bawah surau dijadikan tadika.
"Baru-baru ini saja, tadika berkenaan telah dipindahkan ke kawasan belakang dan kita akan gunakan semula bahagian bawah ini sebagai ruang solat.
"Kita berharap, ada peruntukan untuk pembinaan baharu mahupun baik pulih surau yang semakin usang ini," katanya.