Alor Setar: Kerajaan negeri mengesan wujud pihak yang menipu untuk mendapatkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) untuk mangsa banjir ketika bencana terdahulu.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerima laporan Pegawai Daerah yang mendapati beberapa pasangan suami isteri mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza semata-mata untuk mendapatkan bantuan RM1,000 yang diperuntukkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR).
Berikutan itu katanya, kerajaan negeri mencari kaedah baharu bagi pengagihan bantuan berkenaan pada banjir kali ini, agar ia dapat disalurkan dengan lebih baik.
"Dalam banjir pun ambil kesempatan, tak bagus amalan itu, (jadi) saya rasa kali ini kita akan teliti perkara ini. Kita tak mahu perkara berlaku lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.
BKS sebanyak RM1,000 disalurkan kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS ketika banjir September lalu.
Muhammad Sanusi berkata, selepas ini pemberian bantuan juga akan diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah ke PPS atas sebab tertentu, seperti PPS penuh dan mereka yang dipindahkan atas faktor keselamatan.
Katanya, situasi terbabit adalah senario baharu dikesan ketika banjir melanda Kedah, minggu lalu.
"Angka yang dikeluarkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di PPS jumlah keseluruhan mangsa adalah 11,046 orang, KIR jumlahnya 3,574.
"Kalau kita ambil kira juga KIR dan keluarga yang tidak berpindah mungkin jumlah lebih ramai dan kita masih tunggu angka penuh," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, trend banjir melanda negeri kali ini disifatkan tidak sama seperti September lalu, dengan ada daerah seperti Pendang yang kerap menghadapi banjir 'termenung' tidak terjejas.
Katanya juga, bah kali ini disebabkan hujan lebat melebihi dua kali ganda kadar hujan tahunan iaitu daripada 175 milimiter (mm) kepada lebih 300 mm.