
Gambar fail
KUCHING: Seorang lelaki kerugian RM300,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan dalam laman sosial.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) berkata, pada pertengahan Oktober lalu, mangsa berusia 60-an yang merupakan seorang pengurus syarikat swasta di sini, telah melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan pelaburan yang ditawarkan.
"Mangsa telah menekan pautan dan seterusnya dimasukkan ke dalam satu dalam kumpulan WhatsApp.
"Mangsa telah berurusan dengan beberapa orang individu yang tidak dikenali (suspek) melalui aplikasi itu.
"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk memuat turun satu aplikasi bagi memantau serta membimbing mangsa dalam pelaburan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mancha berkata, mangsa yang terperdaya telah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek berjumlah lebih kurang RM300,000.
Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan pulangan keuntungan dalam aplikasi yang diperkenalkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar tidak terlalu mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan dalam laman sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di laman sesawang www.bnm.gov.my / BNM telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my / (03-62048999) (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).
"Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan siber sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau eWallet suspek, anda dinasihatkan agar menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
"Orang ramai juga disarankan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab penggilan telefon yang diterima atau sebaliknya," kata Mancha.
|