KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati di Kampung Munggu Kopi, Serian pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Neil Baginda berkata lelaki berusia 29 tahun ditemui tidak sedarkan diri di bawah pokok berdekatan pondok simpanan barang-barang milik seorang pekebun (yang juga pengadu kes).
Katanya, tiada unsur-unsur perbuatan jenayah yang berlaku dan kesemua dokumen peribadi masih berada bersamanya.
"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati tiada penemuan unsur-unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pihak ambulans dari Hospital Serian yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, tambahnya.
"Turut dijumpai di lokasi sebuah motosikal yang digunakan oleh si mati, didaftar atas nama sepupu si mati, dompet, kad pengenalan si mati, beg silang manakala telefon bimbit dijumpai dalam bakul motosikal yang mana kunci masih berada pada papan penghidup enjin," katanya.
"Kes disiasat di bawah kematian mengejut (SDR)," ujarnya.
|