Edited by sfhzuraz at 30-11-2024 07:47 PM
Penghidap strok perlukan RM40,000 jalani pembedahan
MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 November 2024 01:35pm
Abd Hamid perlu menjalani pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM70,000.
BUKIT MERTAJAM - Bekas juruteknik elektrik kilang, Abd Hamid Mohd Basir, 61, yang sedang bertarung nyawa akibat serangan angin ahmar memerlukan bantuan dana sebanyak RM40,000 bagi menjalani pembedahan segera.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Abd Hamid diserang strok semasa sedang membantu isterinya menyediakan makanan untuk berniaga nasi lemak baru-baru ini.
“Semasa isterinya keluar dari tandas, dia melihat Abd Hamid sudah terbaring apabila terjatuh semasa mahu berdiri selepas mengupas kulit udang.
“Semasa tiba di hospital, doktor telah memberi rawatan trombolisis untuk mencairkan darah, namun dia perlu menjalani pembedahan trombektomi mekanikal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu
]
Pegawai One Hope Charity & Welfare ketika menziarahi Abd Hamid di hospital baru-baru ini.
Sui Hau berkata, pembedahan itu tidak dapat ditangguhkan lagi demi menyelamatkan nyawanya, namun keluarga Abd Hamid tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung kos keseluruhan pembedahan sebanyak RM70,000.
"Dalam keadaan kecemasan, keluarganya yang terdiri daripada isteri berusia 55 tahun bersama empat anak perempuan berusia 20 hingga 32 tahun dengan tiga daripadanya sudah berkahwin hanya mampu mengumpul RM30,000.
"Keluarganya telah memohan bantuan dari One Hope Charity & Welfare dan selepas perbincangan kami berbesar hati untuk mengumpulkan dana RM40,000 bagi membantu pembedahannya.
"Abd Hamid tidak bekerja selepas kilang ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu dan bergantung dengan pendapatan membantu isterinya berniaga nasi lemak di depan rumah," katanya lagi.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menyalurkan derma menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3193433435) atau layari www.onehopecharity.org.
https://www.sinarharian.com.my/article/699644/edisi/utara/penghidap-strok-perlukan-rm40000-jalani-pembedahan
|