Gara-gara main basikal lajak, 7 kanak-kanak ditahan
Zuhainy Zulkiffli[email protected]
KANAK-kanak yang ditahan di Lebuh Relau 4 kerana bermain basikal lajak. FOTO Ihsan PDRM.
Georgetown: Gara-gara main basikal lajak, tujuh kanak-kanak lelaki ditahan di Lebuh Relau 4 di sini semalam.
Mereka kemudian diserah kepada ibu bapa dan waris masing-masing.
Menurut laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, ia susulan aduan orang awam mengenai sekumpulan mereka bermain basikal lajak di kawasan berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
Rondaan dan tinjauan di sekitar kawasan kemudian dilakukan pasukan Task Force balai terbabit petang semalam.
"Hasil tinjauan mendapati seramai tujuh kanak-kanak lelaki sedang bermain basikal lajak.
"Semua kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong bagi tujuan dokumentasi sebelum diserah kepada waris penjaga masing-masing," menurut kenyataan di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, polis menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan, tingkah laku dan aktiviti anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
Terdahulu, video mengenai perbuatan kanak-kanak itu turut tular di media sosial dipercayai dirakam orang awam.
Disiarkan pada: November 29, 2024 @ 5:32pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1160632/gara-gara-main-basikal-lajak-7-kanak-kanak-ditahan
|