Kadar pengangguran di Kedah terendah dalam negara
ROSLINDA HASHIM
27 November 2024 03:12pm
Chia Zhen pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
ALOR SETAR - Kadar pengangguran di Kedah mencatatkan penurunan dan merupakan terendah dalam negara.
Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, kadar pengangguran yang direkodkan pada tahun ini ialah sebanyak 1.7 peratus berbanding 2.6 peratus pada tahun 2023.
Menurutnya, peratusan ini jauh lebih rendah berbanding purata nasional 3.3 peratus dan membuktikan keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program Kedah Future Leaders, Sekretariat Belia Sejahtera, Karnival Kerjaya bersama PERKESO dan program pemerkasaan latihan kemahiran vokasional bersama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negeri,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Chia Zhen berkata, langkah yang dilaksanakan bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia selain memastikan mereka dilengkapi kemahiran dan pengalaman yang relevan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Pengembangan zon industri baharu seperti Delapan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ), Kedah Rubber City, Kedah Science & Technology Park, Kedah Aerotropolis turut membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam sektor teknologi dan pembuatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus memperkasakan program keusahawanan belia selain industri kecil dan sederhana (IKS) melalui pelbagai program pembiayaan, latihan perniagaan serta promosi ekonomi digital.
“Kesemua ini adalah untuk memberi ruang kepada belia membina kerjaya sendiri yang berdaya saing.
“Kedah akan terus berusaha menjadi negeri yang bukan sahaja rendah kadar penganggurannya malah dapat menyediakan peluang pekerjaan lebih baik dan meluas khususnya kepada golongan anak muda,” jelasnya.
Chia Zhen percaya menerusi dasar yang konsisten dan usaha berterusan, Kedah mampu meningkatkan lagi kesejahteraan ekonomi seiring dengan pembangunan belia di negeri ini.
https://www.sinarharian.com.my/article/698998/edisi/utara/kadar-pengangguran-di-kedah-terendah-dalam-negara
|