Pulau Pinang calon kebaya nyonya, Chingay dalam senarai UNESCO
Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]
GAMBAR hiasan. Persembahan Chingay di Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
Georgetown: Kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkan tiga warisan kebudayaan tidak ketara di Pulau Pinang iaitu kebaya nyonya, chingay dan tarian singa sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pakaian tradisional kebaya telah dicalonkan secara bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand pada 2023.
"Saya difahamkan, pencalonan berkenaan sedang dalam proses penilaian oleh pihak UNESCO.
"Beberapa siri bengkel juga telah diadakan Jabatan Warisan melibatkan penyertaan pihak berkepentingan bagi penyediaan dokumen pencalonan persembahan Chingay bagi pencalonan bersama Malaysia dan Singapura dan tarian singa (pencalonan bersama Malaysia dan China)," katanya.
Hon Wai (PH-Paya Terubong) berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) mengenai usaha kerajaan negeri memartabatkan warisan tidak ketara pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Hon Wai, kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif juga mengeluarkan surat sokongan untuk pencalonan chingay dan tarian singa kepada Jabatan Warisan Negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyokong program pameran baju kebaya selain turut menganjurkan pertandingan tarian singa atas tiang antarabangsa pada setiap tahun di Kepala Batas.
"Kerajaan negeri juga turut mengadakan perarakan chingay tahunan di Georgetown dan juga di Butterworth," katanya.
Disiarkan pada: November 27, 2024 @ 12:20pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1159665/pulau-pinang-calon-kebaya-nyonya-chingay-dalam-senarai-unesco
|