CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26483|Reply: 0

[Kedah] Harimau dahan Rimba Teloi akhirnya ditangkap

[Copy link]
Post time 27-11-2024 12:45 PM | Show all posts |Read mode
Harimau dahan Rimba Teloi akhirnya ditangkap

Oleh Noorazura Abdul Rahman - November 27, 2024 @ 8:49am[email protected]




Harimau dahan yang ditangkap di Kampung Lubuk Tualang pagi semalam. - Foto Ihsan Facebook pembaca




SIK: Seekor harimau dahan jantan yang berkeliaran di pinggir Kampung Lubuk Tualang berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pagi semalam.

Pengarah Perhilitan Negeri, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata tangkapan itu dilakukan susulan Perhilitan Daerah menerima aduan daripada penduduk Ahad lalu mengenai serangan harimau dahan terhadap ternakan dan binatang peliharaan mereka.

"Pada hari yang sama, kakitangan PERHILITAN Daerah telah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan mendapati terdapat kesan tapak dan kesan makan yang masih baru pada haiwan peliharaan (beruk) pengadu.

"Daripada laporan yang kami terima kampung ini juga adalah salah satu kawasan yang telah mengalami gangguan harimau dahan yang berulang sejak awal tahun ini iaitu Kampung Lubuk Tualang, Kampung Chepir, Kampung Hujung Becah, Kampungg Sik Dalam dan Kampung Kelian," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Abdul Malek berkata tindakan lanjut anggota memasang satu unit perangkap harimau dahan di lokasi aduan berumpankan karkas beruk pengadu digunakan untuk menarik perhatian hidupan liar berkenaan.

Katanya, tugasan pemantauan perangkap dan kawasan sekitar kampung juga dilakukan.

"Harimau dahan ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rimba Teloi yang terletak berhampiran dengan kampung untuk mencari makanan.

"Akhirnya, pagi tadi (semalam) didapati seekor harimau dahan (Neofelis nebulosa) jantina jantan dewasa didapati telah memasuki perangkap yang dipasang," katanya.

Beliau berkata jabatan berkenaan turut akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap haiwan itu dan sekiranya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan ianya akan dipindahkan ke habitat yang jauh dari penempatan manusia.

"Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian Hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau eaduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Lubuk Tualang, Mohamad Wahab, 38, berkata sejak beberapa bulan lalu orang kampung takut untuk keluar menoreh getah atau ke kebun tanaman kerana sering terserempak dengan harimau dahan berkenaan.

Katanya, sebelum ini harimau dahan itu pernah menyerang seekor kambing milik sepupunya kemudian menyerang seekor beruk peliharaan orang kampung.

"Alhamdulillah akhirnya harimau yang sering muncul berhampiran rumah penduduk sudah ditangkap, saiznya agak besar... terima kasih kepada PERHILITAN kerana mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1329308/harimau-dahan-rimba-teloi-akhirnya-ditangkap





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 09:02 PM GMT+8 , Processed in 0.044237 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list