Edited by sfhzuraz at 25-11-2024 08:09 PM
Perlis Inland Port siap Julai 2025, rangsang ekonomi negeri di utara - Anthony Loke
25 November 2024 06:40pm
Anthony Loke (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2 Tahun 2024, hari ini. - Foto: Bernama
SEPANG - Projek Perlis Inland Port (PIP) di Chuping, Perlis yang dijangka siap Julai tahun depan bakal merangsang ekonomi negeri-negeri di utara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu kertas Jemaah Menteri akan dibawa ke kabinet dalam tempoh dua bulan ini bagi mendapatkan kelulusan pemindahan operasi kargo yang ketika ini dilaksanakan di Padang Besar ke PIP.
"Sekiranya projek ini dimulakan, sudah tentu ia akan menjadi satu projek ekonomi yang dapat merangsang ekonomi di negeri kawasan utara dan Semenanjung.
"Kementerian Pengangkutan secara prinsipnya bersetuju dan juga menyokong usaha ini kerana ia sudah tentu akan mencungkil lebih banyak potensi untuk kita mengendalikan lebih banyak kargo antara Thailand dengan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini hari ini.
Menurutnya, proses memindahkan operasi ke PIP perlu dilakukan dengan teliti serta memerlukan koordinasi antara agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan pelbagai agensi kawalan sempadan.
"Kita laksanakan dengan sebaik mungkin supaya tidak ada gangguan terhadap operasi dan juga aktiviti eksport dan import negara. Itu sebabnya (ia) memerlukan kelulusan Kabinet supaya ada punca kuasa untuk mewajibkan semua agensi memberikan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata, projek PIP membuktikan Kerajaan Madani tidak meminggirkan pembangunan di negeri pembangkang sebaliknya terus fokus memajukan semua negeri.
"Ini satu projek yang mampu mencungkil ekonomi dan juga menjana ekonomi dan ini sekali lagi menunjukkan bahawa bagi kita dalam Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Madani, kita tak mengira negeri mana.
"Walaupun Perlis itu bukan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan tetapi kita masih meneruskan usaha untuk memajukan semua negeri, semua wilayah di dalam Malaysia,” katanya.
Projek PIP antara lain bertujuan menjadikan Perlis sebagai bandar sempadan dan hab logistik antarabangsa yang akan dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta.
Kerajaan Persekutuan menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan mengendalikan pembangunan infrastruktur luar manakala Mutiara Perlis Sdn Bhd akan membangunkan pelabuhan itu dan komponen lain yang berkaitan. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/698617/berita/nasional/perlis-inland-port-siap-julai-2025-rangsang-ekonomi-negeri-di-utara---anthony-loke
|