3 pengawal keselamatan curi wang tunai RM200,000 didakwa
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 25, 2024 @ 3:07pm[email protected]
Tiga pengawal keselamatan yang diiringi pegawai polis ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Setar atas kesalahan mencuri wang tunai RM200,000 milik majikan mereka.STR/ZULIATY ZULKIFFLI
ALOR SETAR: Tiga pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 pada minggu lalu.
Bagaimanapun, hanya Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, mengaku bersalah, manakala dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Mohd Noor.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mencuri wang tunai RM200,000 di bawah kawalan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini, pada jam 10.34 pagi, 19 November lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri, manakala Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli diwakili peguam, Ilyana Syafiqa Md Saad serta Muhd Fairul diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), HA Chuah.
Mahkamah kemudian menetapkan esok sebagai tarikh hukuman terhadap Muhd Fairul berikutan barang kes tidak dapat dikemukakan hari ini dan turut membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin.
Tarikh 29 Disember ditetapkan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, tiga pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti swasta, di sini, sanggup membuat laporan palsu kononnya mereka disamun sehingga menyebabkan wang tunai RM200,000 lesap.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek berusia 28, 37 dan 38 tahun itu membuat laporan polis dengan ditemani majikan mereka pada jam 12 tengah hari untuk memaklumkan kononnya mereka disamun.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1328652/3-pengawal-keselamatan-curi-wang-tunai-rm200000-didakwa
|