17 termasuk dua wanita ditahan bantu kes pergaduhan
November 24, 2024 @ 8:24pm
GEORGE TOWN: Polis menahan 17 individu tempatan termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di hadapan Queen Water Front Q1 Bayan Lepas, dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata 15 lelaki dan dua wanita yang kesemua berusia 19 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Bayan Lepas, dekat sini semalam selepas pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam.
"Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video insiden pergaduhan di Queen Water Front Q1 Bayan Lepas yang berlaku pada awal pagi semalam dipercayai kerana salah faham di antara sepasang kekasih.
"Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki (pengadu), dia pada mulanya telah melihat teman wanitanya bersama seorang lelaki yang tidak dikenali sebelum berlaku pergaduhan kecil di antara pengadu dengan lelaki itu, namun ia berjaya dileraikan oleh wanita berkenaan," katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau berkata pengadu kemudiannya bertindak menghubungi rakan dan ibunya untuk berbincang secara baik bersama teman wanitanya, tetapi tiba-tiba datang kira-kira 10 orang lelaki lalu memukul pengadu menggunakan topi keledar.
Sazalee berkata pengadu berjaya melarikan diri ke balai polis berdekatan dan terus membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan berkenaan.
Tambah beliau, ekoran daripada insiden itu, pihak polis telah menjalankan operasi Op Cantas dan menahan kesemua mereka yang terbabit dalam kejadian berkenaan di sekitar Bayan Lepas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Susulan penahanan semua 17 individu yang masing-masing ialah pekerja kilang, pelajar kolej, pembantu restoran, berniaga dan penganggur itu, polis merampas lima topi keledar yang digunakan mereka dalam pergaduhan berkenaan," katanya.
Beliau berkata tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan kesemua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1328308/17-termasuk-dua-wanita-ditahan-bantu-kes-pergaduhan
|