CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 36613|Reply: 0

[Kedah] Remaja diikat, ditinggal depan pusat pemulihan kini bergelar ustaz

[Copy link]
Post time 24-11-2024 05:41 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 24-11-2024 05:43 PM

Remaja diikat, ditinggal depan pusat pemulihan kini bergelar ustaz

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
24 November 2024 03:47pm





Solat berjemaah dilaksanakan sebagai salah satu proses pemulihan. Gambar kecil: Ahmad Fakhrurazi





SUNGAI PETANI - Penemuan seorang remaja lelaki dengan tangan, kaki dan mulut diikat pada waktu Subuh di hadapan Pusat Pemulihan Nur Al-Barakah Sufi, masih segar dalam ingatan, biarpun ia berlaku kira-kira 10 tahun lalu.


Pengarah pusat berkenaan, Ahmad Fakhrurazi Md Arof berkata, kejadian disedari penduduk kampung yang ingin menunaikan solat di masjid bersebelahan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.


Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati, remaja berkenaan sebenarnya telah mengamuk, dihantar selepas mengugut mahu membunuh kedua-dua ibu bapa akibat kesan penggunaan bahan terlarang.


"Sebelum itu, ada waris hubungi namun kita maklumkan tempat penuh tetapi dihantar dengan cara ini, kita terpaksa ambil sebab bimbang dia bertindak agresif... kita bawa masuk bilik suluk, diberi rawatan berpandukan al-Quran, solat berjemaah, hafazan, qiamullail...Alhamdulillah akhirnya berjaya diselamatkan.


"Setelah pulih, pelajar itu dibenarkan sambung pengajian ke Yaman, balik jadi 'ustaz' dan kini sedang berkhidmat di salah sebuah tahfiz di tanah air," jelas beliau.


Menyedari rasa tanggungjawab dan terpanggil untuk merawat lebih ramai remaja yang 'rosak' akibat masalah sosial, kongsi gelap, ketagihan dadah, seksual dan gajet, Ahmad Fakhrurazi akhirnya berazam mewakafkan diri membantu lebih ramai anak bangsa keluar dari kepompong terbabit.





]
Penghuni Pusat Pemulihan Nur Al-Barakah Sufi diajar berdikari dan pengurusan diri termasuk memasak.




Berpengalaman selama 15 tahun mengusahakan pusat pemulihan yang terletak di Kampung Haji Kudung, Kota Kuala Muda, Kedah ini bersama ahli keluarga, bekas arkitek ini mengakui pernah berhadapan pelbagai rintangan.


Ini berikutan pusat yang memuatkan antara 50 hingga 70 orang itu menggunakan sepenuhnya dana awam dan hasil kutipan yuran, namun tidak semua mampu bayar.

"Walaupun banyak permintaan, kita tidak lagi menerima kemasukan memandangkan ruang tidak mencukupi dan tempoh rawatan yang diperlukan sekurang-kurangnya 24 bulan...ini menunjukkan ramai anak-anak kita yang bermasalah.

"Oleh itu, kita telah mengambil inisiatif membina sebuah lagi pusat pemulihan di Memali, Baling, yang kini sedang dalam proses pembinaan," katanya.


Jelas beliau, lebih menarik, premis baharu boleh memuatkan kira-kira 300 pelajar turut menyediakan bengkel kemahiran hasil kerjasama beberapa agensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Pembinaan masjid, dewan, dewan kuliah, padang futsal dan tapak pertanian sudah dimulakan dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM7 juta.

"Matlamat utama ialah semata-mata mahu membantu ummah...dulu saya pun pernah terjebak dengan kesalahan dadah, jenayah dan akhlak sejak usia belasan tahun, malah lebih teruk lagi dari mereka, namun saya insaf selepas berlaku sesuatu dalam hidup saya.

"Saya yakin mereka juga mampu menjadi insan berjasa pada agama, bangsa dan negara jika digilap, bukan selama-lamanya bergelar 'sampah masyarakat' yang dibuang begitu saja,"ujarnya.

Seorang penghuni dikenali Man, 26, (bukan nama sebenar) dari Johor berkata, setelah lebih setahun menerima rawatan di pusat terbabit, banyak ilmu dan pengalaman diperolehi sehinggakan berjaya mengubah persepsi diri ke arah lebih positif.

"Sebab ketagihan dadah, saya jauh dari keluarga, jadi bukan diri sendiri, saya berhenti belajar dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan telah kecewakan orang tua.

"Tujuan hidup sekarang bukan untuk saya tetapi untuk mak ayah...saya akan buktikan boleh berubah dan janji jadi anak yang lebih baik selain mahu bahagiakan mereka," katanya.

Seorang lagi penghuni dikenali Jan, 20 (bukan nama sebenar) dari Sarawak mengakui, berada di pusat berkenaan banyak mengajar tentang keinsafan, ketaqwaan dan tuntutan menjadi hamba ALLAH yang lebih baik.

"Saya gembira dengan perubahan diri, lebih tenang...seumur hidup saya tak pernah masak namun, di sini perlu masak dan belajar pengurusan diri yang lain," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui Akaun Maybank bernombor 5520-5983-1069 atau CIMB Bank bernombor 8602-13-6656 atas nama Pusat Pemulihan Nur Al-Barakah Sufi.


https://www.sinarharian.com.my/article/698371/edisi/utara/remaja-diikat-ditinggal-depan-pusat-pemulihan-kini-bergelar-ustaz


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 09:02 PM GMT+8 , Processed in 0.043945 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list