PENGHARGAAN: Abang Johari menyampaikan cenderamata kepada Jack. Turut kelihatan (dari kanan) Sagah, Dr Sim, Abu Bakar dan Abdul Karim. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
KUCHING: Dedikasi dan sumbangan luar biasa para pegawai Kerajaan Sarawak yang telah bersara amat dihargai oleh kerajaan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menzahirkan penghargaan itu ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Majlis itu diadakan bagi meraikan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Sarawak yang telah bersara daripada perkhidmatan masing-masing.
"Hari ini kita meraikan dan memberi penghormatan kepada kumpulan ketua yang luar biasa iaitu para ketua jabatan yang telah tanpa letih memberi dedikasi dalam kehidupan mereka berkhidmat kepada rakyat dengan komitmen tinggi secara profesional, integriti dan efisien.
“Mereka juga telah bekerja lebih daripada sekadar duduk di kerusi pejabat tetapi telah menjadi tiang kepada tonggak visi dan strategi inisiatif kepada Perhidmatan Awam Sarawak,” katanya.
Ketua jabatan dan pegawai kanan bersara tahun 2024 tersebut ialah Datu Edwin Abit, Datu Ismail Hanis, Noriah Ahmad, Datu Lau Hieng Ung, Datu Azmi Bujang, Alexander Unya Ambon, Datu Jack Aman Luat, Jamalie Busri, Belayong Pok, Dato Alice Jawan Empaling, Langgong Wasam dan Bujang Ladi.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
|