BINTULU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberikan jaminan bahawa kualiti udara di kawasan Samalaju kekal selamat, kata Ketua JAS Cawangan Bintulu Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik.
Katanya, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Samalaju diberi jaminan kualiti udara kekal selamat selepas berlaku insiden tiga pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas beracun.
Abdul Mazli mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden berlaku di salah sebuah kilang di kawasan tersebut di sini petang semalam.
"Laporan menunjukkan tiga orang pekerja kontraktor dari kilang tersebut terdedah kepada gas toksik sebelum dikejarkan ke Hospital Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.
Justeru katanya, sebagai tindak balas kepada insiden terbabit dan kebimbangan mengenai tahap keselamatan dan kesihatan yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan, Abdul Mazli mengarahkan anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan kualiti udara menyeluruh.
Beliau juga mengarahkan JAS memantau tahap gas di kawasan awam termasuk kawasan kilang sehingga ke Kampung Nyalau dekat sini sebagai langkah keselamatan.
"Setakat jam 9 pagi ini, bacaan indeks kualiti udara di kawasan Samalaju kekal sihat dan selamat," jelasnya.
Abdul Mazli menjelaskan langkah penting diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti berhampiran.
|