Edited by maklukpenggoda at 6-12-2024 02:44 PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
"Faham, mengaku tidak bersalah," kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin, yang mengenakan kot berwarna hitam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.
"Amaun yang kami mohon sangat munasabah, kerana mengambil kira keseriusan kes dan ada risiko untuk melarikan diri.
"Kes ini melibatkan amaun mencecah RM8 juta maka kadar jaminan yang kami cadangkan tidak bersifat menekan atau menghukum kedua-dua tertuduh," katanya yang turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab dan Haresh Prakash Somiah.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Ashok Athimulan berkata, amaun yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tinggi, seolah-olah menghukum anak guam, sebelum perbicaraan bermula.
"Saya tidak membantah syarat tambahan, namun mohon jaminan pada kadar rendah dan munasabah dengan mengambil kira mereka telah hadir sebanyak sambilan kali ke pejabat SPRM ketika siasatan kes.
"Mereka mempunyai empat anak yang bersekolah di sini, termasuk keluarganya menetap di ibu negara, sekali gus menunjukkan mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri maka tiada keperluan untuk mahkamah menetapkan jumlah jamin yang tinggi," katanya.
Ekoran kes ini peguam terbabit berkata, anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas aset mereka dibekukan, sehingga terpaksa bergantung kepada ahli keluarga dan rakan lain untuk bayar wang jaminan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 22 Januari tahun depan.
SHarian
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish' telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, FashionValet, akauntan, penilai syarikat dan 'introducer' (pencadang)” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Astro Awani
|