Alor Setar: "Syukur Alhamdulillah ramai yang menghulurkan sumbangan untuk membantu meringankan beban saya kerana rawatan kanser memakan masa yang panjang.
"Terima kasih rakyat Malaysia kerana keprihatinan semua membantu saya selepas membaca kisah saya di akhbar ini semalam memandangkan saya tidak dapat bekerja kuat lagi seperti dulu," kata Norhazil Nanyan, 46.
Norhazil yang menghidap kanser leher dan hidung juga bercadang menggunakan sebahagian besar wang sumbangan untuk menampung kos rawatan di hospital selain menyara keluarga.
Katanya, dia juga berterima kasih kepada isterinya, Sharifah Azizah Syed Rohazad, 40, kerana turut membantunya menyara keluarga dengan gaji bulanannya sebagai tukang cuci.
"Saya tak tau nak cakap apa memang terkejut la dengan wang sumbangan yang dapat sejak semalam malah hari ini juga ada yang masih memberi sumbangan melalui akaun bank saya.
"Saya bercadang akan menghulurkan sebahagian kecil sumbangan itu kepada Tabung Cancer Survivors Malaysia (CSM) untuk membantu mereka yang mengalami nasib seperti saya.
"Walaupun sumbangan itu tidak banyak namun ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan, selain berterima kasih kepada Pengerusi CSM, Zuraini Kamal yang banyak membantu saya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muka depan Harian Metro semalam
melaporkanseorang tukang rumah hilang deria rasa dan bau selain mengalami kesukaran untuk menelan air serta makanan.
Dia disahkan menghidap kanser itu selepas menyedari terdapat benjolan di lehernya.