Butterworth: Tiga ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang wanita ditahan dan sejumlah 20 kilogram (kg) syabu dirampas dalam operasi terancang di sekitar daerah ini dan Bukit Mertajam, di sini.
Operasi dijalankan jam 4 petang semalam dan 2 pagi hari ini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Ahmad, berkata dalam serbuan pertama seorang lelaki dan wanita ditahan di kawasan parkir kereta yang mana dadah jenis syabu dianggar seberat 1,036 gram (g) dirampas.
"Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Bukit Mertajam.
"Hasil tangkapan itu, polis menemui kotak kertas berwarna coklat serta bungkusan plastik berzip mengandungi 18 bungkusan plastik teh cina yang dalamnya terdapat hablur dipercayai syabu seberat 18,964 g.
"Risikan mendapati pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif awal bulan ini dengan tumpuan kepada pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, polis turut menyita sebuah BMW, dua utas rantai dan gelang serta sepasang subang emas dan jumlah keseluruhan sitaan termasuk dadah adalah RM705,686.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah, tetapi mempunyai rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah.
"Semua suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga 3 November untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.