Kangar: Jumlah mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di Kuala Perlis meningkat kepada 469 mangsa selepas hanya 20 mangsa saja semalam.
Peningkatan itu berlaku berikutan fenomena air pasang besar berkenaan yang mencapai kemuncaknya pada awal pagi ini dengan paras 3.7 meter dan melanda beberapa kampung di Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Pegawai Operasi Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 8 pagi ini, jumlah mangsa yang ditempatkan di dua PPS iaitu di PPS Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai agak meningkat.
"Jumlah mangsa kini mencecah 469 orang daripada 159 keluarga di kedua-dua PPS berkenaan dengan kawasan terjejas adalah di sekitar penempatan nelayan di kawasan Seberang Ramai seperti Kampung Pulau Ketam, Kampung Hujung Tanjung Kampung Tanah Baru dan Kampung Baru Kuala Perlis.
"Di PPS IKBN Kuala Perlis, terdapat 182 mangsa daripada 53 keluarga manakala di PPS SK Seberang Ramai yang mulai dibuka sejak jam 8 malam semalam pula menempatkan seramai 287 mangsa daripada 106 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan analisa keadaan semasa, tiada hujan kadar kelajuan angin sekitar tiga kilometer sejam dan trend air pula semakin menurun.
"Seramai 24 anggota kita dari Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis ditugaskan untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa berhubung keadaan fenomena air pasang besar yang dijangka akan berlaku lagi pada setiap malam di kawasan pesisiran pantai Kuala Perlis hingga ke Kuala Sanglang sehingga 22 Oktober ini.
"Selain itu juga, APM juga menggerakkan enam kekuatan logistik kita yang terdiri daripada ambulans dan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk kerja menyelamat dan pemantauan keadaan," katanya.