Air pasang besar: APM Perlis sediakan 11 aset, 90 anggota
Oleh Aizat Sharif - Oktober 16, 2024 @ 4:05pm [email protected]
Anggota APM Perlis sedang melakukan pemantauan dan tinjauan keadaan air laut akibat fenomena air pasang besar di Pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis. - Foto NSTP/Aizat Sharif
KANGAR: Beberapa kawasan di sekitar pesisiran pantai di Kuala Perlis bermula dari Kampung Pulau Ketam sehingga ke Kuala Sanglang dijangka dinaiki air kesan fenomena air pasang besar yang bermula esok hingga Sabtu ini.
Pegawai Operasi Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat persediaan dan sentiasa memantau keadaan ombak dan air laut sepanjang kawasan pesisiran pantai sejauh 12 kilometer itu.
Katanya, pemantauan itu bagi memudahkan kerja menyelamat jika penduduk yang terjejas perlu dipindahkan jika berlaku banjir.
"Pemantau kini ditumpukan kepada beberapa kawasan berhampiran laut Perlis berdasarkan jadual maklumat air pasang besar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
"Jika kita lihat fenomena air pasang besar ini sudah pun bermula sebenarnya terutama di Pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis.
"Kita diberitahu kemuncak kepada fenomena air pasang besar ini adalah pada jam 1.15 tengah malam 19 Oktober ini dengan ketinggian air dijangka adalah sekitar 3.7 meter yang mana ia adalah tertinggi yang dijangka berlaku dalam tiga hari ke hadapan ini.
"Oleh itu, kita jangka air akan naik di beberapa tempat di Kuala Perlis seperti di kawasan Padang Semarak, Kampung Pulau Ketam, Kampung Wai serta kawasan tertentu di pesisiran Pantai Kurong Tengar sehingga Sungai Baru dan Kuala Sanglang sejauh 12 kilometer," katanya ditemui ketika memantau dan meninjau kawasan sekitar Pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, dijangka banyak penempatan di pesisiran pantai Kuala Perlis akan terjejas dan terkesan dengan fenomena berkenaan.
Katanya, APM bersiap sedia jika diperlukan untuk melakukan pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Dalam tempoh itu juga, kita diberitahu akan berlaku hujan lebat serta angin kencang dan sekiranya hujan berterusan melebihi 60 milimeter yang mengakibatkan pertembungan air sungai dan laut maka situasi itu juga akan menyebabkan berlakunya banjir.
"Sekiranya berlaku pertembungan ini, antara kawasan 'hotspot' yang dijangka akan dinaiki air adalah kawasan Tok Kuning, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Tok Kandang dan Kampung Repoh di Kangar.
"Justeru, APM sudah pun bersedia dengan kekuatan 90 anggota dan 11 aset termasuk lori, kenderaan pacuan empat roda, ambulans serta kenderaan pelbagai guna untuk kita gerakkan melakukan pemantauan atau pemindahan terhadap mangsa yang terjejas dalam kejadian itu," katanya.
Sementara itu, tinjauan di sekitar kawasan pesisiran pantai Kuala Perlis dari Dataran IMAB Kuala Perlis sehingga Pantai Kurong Tengar jam 11.45 pagi tadi mendapati air laut bergelora dan berlaku kenaikan air laut sekitar 3.1 meter seperti yang diramalkan.
Namun, keadaan masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan tidak perlu panik dengan fenomena yang berlaku.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/10/1311732/air-pasang-besar-apm-perlis-sediakan-11-aset-90-anggota
|