Kedah harap kerajaan lulus pampasan RM200 juta kekalkan tanah sawah
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 15, 2024 @ 8:01pm [email protected]
Kerajaan negeri berharap permohonan pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta setahun atas kehilangan pendapatan bagi mengekalkan tanah sawah dan pembangunan Kampung Tersusun akan tersenarai dalam Belanjawan 2025. - foto hiasan BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan negeri berharap permohonan pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta setahun atas kehilangan pendapatan bagi mengekalkan tanah sawah dan pembangunan Kampung Tersusun akan tersenarai dalam Belanjawan 2025.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu merupakan antara permohonan utama dalam 'wish list' Kedah yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mei lalu.
Kelulusan permohonan itu pasti akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri khususnya rakyat Kedah.
"Kita sudah serahkan 'wish list' Kedah pada ketika itu, kita harap ia dapat dipenuhi dalam Belanjawan kali ini," katanya selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Pada 4 Mei lalu, Sanusi menyerahkan 'wish list' Kedah kepada Anwar ketika mesyuarat khas pembangunan negeri bersama Perdana Menteri.
Anwar meluluskan serta merta peruntukan bagi membolehkan Kedah membina infrastruktur di Kampung Tersusun yang akan disediakan kerajaan negeri kepada penduduk miskin.
Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kos untuk pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya di 1,200 lot tanah bagi setiap daerah dengan peruntukan kira-kira RM70 juta.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata permohonan RM200 juta sebagai pampasan juga masih dalam kajian dan berharap tidak lagi tertangguh.
Kedah kehilangan pendapatan untuk jaminan keselamatan makanan negara sedangkan permintaan untuk perumahan, industri dan komersial meningkat setiap tahun.
"Sekiranya kita bangunkan kawasan yang telah termasuk dalam Rancangan Pembangunan Daerah (RPD) dianggarkan kita mampu kutip cukai tanah tambahan RM200 juta, jadi kita mohon ia dipertimbangkan oleh Persekutuan.
"Ini dua perkara utama yang diharapkan. Saya harap tak tangguh lagi. Kadang-kadang strategi orang pun, katanya akan kaji maksudnya tangguhlah. Saya harap tak berlaku lagi," katanya.
Sementara itu, Sanusi juga berharap pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut disenaraikan dalam belanjawan kali ini, selain peruntukan tambahan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) agar dapat segera disiapkan.
"Saya juga harap pembangunan takungan air bawah tanah yang dirancang di Langkawi turut tersenarai.
"Tanaman padi lima kali dua tahun juga perlu dimasukkan dalam belanjawan yang mana sebelum ini dijanjikan RM3 bilion dan dinaikkan kepada RM5 bilion. Mungkin boleh salurkan sebahagian daripada peruntukan tersebut, bukan sekali gus," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311327/kedah-harap-kerajaan-lulus-pampasan-rm200-juta-kekalkan-tanah-sawah
|