'Petani perlu tingkat kualiti, produktiviti mangga Harumanis kekal premium'
Oktober 15, 2024 @ 3:18pm
Gambar hiasan
KANGAR: Aspek penyelidikan dan pembangunan antara yang perlu diberikan keutamaan terutama berkaitan penambahbaikan genetik, pengurusan tanaman dan kawalan penyakit serta perosak dalam usaha memastikan daya saing mangga Harumanis kekal relevan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hal itu penting untuk mengekalkan kualiti dan produktiviti buah berkenaan bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.
"Justeru, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan petani harus diperkukuh bagi mencapai matlamat ini," katanya berucap sempena majlis perasmian Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Teks ucapan Mohamad dibacakan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi yang mewakili beliau merasmikan persidangan itu yang berlangsung hari ini dan esok.
Mohamad berkata, selain itu, pengaplikasian teknologi pertanian pintar menjadi keperluan kerana ia bukan saja dapat meningkatkan hasil pengeluaran, tetapi juga memastikan kualiti mangga Harumanis terus berada pada tahap tertinggi.
"Saya menggesa semua pemain industri sentiasa bersedia beradaptasi dengan teknologi baharu dan memanfaatkan peluang ditawarkan revolusi pertanian ini," katanya.
Mohamad berkata, penganjuran persidangan itu amat penting dalam memastikan kemampanan industri Harumanis pada peringkat tempatan dan dibawa ke luar negara.
"Persidangan hari ini bukti sektor agromakanan khususnya penanaman mangga Harumanis terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kita. Mangga Harumanis bukan saja dikenali sebagai buah yang lazat dengan kualiti premium, tetapi menjadi antara sumber ekonomi penting bagi rakyat Perlis khususnya dan kawasan sekitarnya.
"Ia juga sudah dikembangkan ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Dengan potensi besar dimiliki industri ini, kita perlu terus memastikan dan memanfaatkan peluang yang ada untuk mengembangkannnya ke tahap lebih tinggi sehingga mampu mengeksport buah Harumanis ini," katanya.
Sementara itu, Kerajaan Perlis dalam kenyataan hari ini berkata, pengeluaran mangga Harumanis tahun ini adalah sebanyak 2,022 tan dengan nilai lebih RM46.5 juta membabitkan 2,693 petani.
"Ini memberikan impak sangat besar kepada ekonomi penduduk Perlis terutama dalam aktiviti sampingan seperti kedai makan, inap desa dan pelancongan," katanya.
Kenyataan itu menyebut persidangan mangga Harumanis julung kali dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama kementerian membabitkan 501 peserta termasuk pengeluar, penyelidik dan usahawan industri asas tani.
Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan pada persidangan itu membabitkan agensi kerajaan, penyelidikan dan swasta serta dua pembentangan daripada penyelidik Indonesia. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311148/petani-perlu-tingkat-kualiti-produktiviti-mangga-harumanis-kekal
|