Pencuci kereta miliki diesel tanpa lesen didenda RM40,000
BERNAMA
GAMBAR hiasan
Alor Setar: Seorang pekerja kedai cuci kereta didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki diesel tanpa lesen, tahun lalu.
Tertuduh J. Nandekumar, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Dia dituduh memiliki barang kawalan iaitu 3,844 liter diesel dalam tangki fiber yang diubah suai di belakang lori dan menimbulkan syak munasabah satu kesalahan akan dilakukan iaitu berurusan dengan cara runcit atau borong barang kawalan tersebut tanpa lesen, yang telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Nandekumar didakwa melakukan kesalahan itu di KM10 Lebuhraya Utara Selatan (menghala utara) di Changlun pada 19 Mei 2023, jam 1.30 pagi.
Dia didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohamad Hezrin Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam R Thevan.
Disiarkan pada: Oktober 15, 2024 @ 2:03pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1144502/pencuci-kereta-miliki-diesel-tanpa-lesen-didenda-rm40000
|