Wanita 63 tahun antara 5 individu jadi keldai akaun sindiket penipuan
BERNAMA - Oktober 15, 2024 @ 11:28am
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal. - NSTP/FAIL
BALIK PULAU: Tiga wanita antara lima individu ditahan polis kerana disyaki menjadi keldai akaun beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM180,962.
Semua suspek berusia 31 hingga 63 tahun, termasuk seorang wanita warga emas ditahan berasingan semalam hasil maklumat awam dan risikan polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, dalam kes pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menahan seorang wanita berusia 34 tahun di Bayan Lepas.
"Dia dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket pelaburan forex tidak wujud dalam talian.
"Berdasarkan siasatan, mangsa membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank berbeza, termasuk milik wanita ditahan itu dengan jumlah keseluruhan RM145,000," katanya hari ini.
Dalam kes seterusnya, polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia 31 dan 36 tahun kerana menjadi keldai akaun sindiket urusan kerja sambilan secara dalam talian melalui aplikasi Facebook membabitkan kes di Bayan Lepas.
Kamarul Rizal berkata, berdasarkan siasatan, mangsa ditawarkan kerja sambilan dengan tawaran gaji lumayan, tetapi perlu membuat bayaran terlebih dahulu dan melakukan beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank berbeza sebanyak RM20,352,41.
Katanya, dua lagi kes melibatkan penahanan dua wanita, masing-masing berusia 44 dan 63 tahun yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan, sehingga menyebabkan tiga mangsa kerugian RM2,780 hingga RM10,000.
Kesemua lima individu yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1310998/wanita-63-tahun-antara-5-individu-jadi-keldai-akaun-sindiket-penipuan
|