CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 36561|Reply: 0

[Kedah] Barang peninggalan arwah ibu musnah

[Copy link]
Post time 25-9-2024 05:24 PM | Show all posts |Read mode
Barang peninggalan arwah ibu musnah


Zuliaty Zulkiffli - September 25, 2024 @ 3:14pm [email protected]







Mohd Najmuddin Md Noor (kanan) dibantu Ahmad Farhan Che Mei mengangkat almari yang rosak selepas rumah ditenggelami banjir. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI





ALOR SETAR: "Banjir kali ini agak teruk kerana air sungai naik terlalu cepat, tapi tidaklah seteruk 2010 lalu," kata Mohd Najmuddin Md Noor, 35.

Kediamannya bersama lebih 20 rumah di Kampung Titi Gajah di sini, dinaiki air sedalam kira-kira satu meter berikutan jarak hanya 50 meter dari Sungai Anak Bukit.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi, manakala perabot dan barangan elektrik tenggelam dalam banjir. Tak jangka air naik satu meter, biasanya kalau hujan lebat dan air sungai naik, air hanya masuk bahagian tepi rumah.

"Namun pada Jumaat lalu, air masuk ke dalam rumah. Saya hanya sedar rumah dipenuhi air sehingga setengah meter sekitar jam 5 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Mohd Najmuddin menyelamatkan diri keluar dari rumah dengan membawa pakaian serta dokumen peribadi ke kediaman sepupu di kawasan berhampiran selepas air sungai semakin naik.

Katanya, haiwan berbisa seperti lipan dan lintah, selain ulat serta ikan masuk ke dalam rumah, malah bimbangkan ular.

"Saya cuba untuk daftar masuk pusat pemindahan sementara di Titi Gajah dan PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, tetapi tidak dapat kerana penuh lalu bermalam dalam kereta dan tumpang mandi di rumah sepupu," katanya.

Mohd Najmuddin berkata, dia kemudian pulang ke rumah pada Isnin lalu dan mendapati kediaman dipenuhi lumpur, manakala perabot dan barangan elektrik rosak akibat banjir.

"Saya terpaksa ambil kira-kira tiga hari untuk mencuci dan menjemur pakaian, tilam, selimut, bantal serta sofa yang basah akibat ditenggelami air selain mencuci lantai rumah. Peti sejuk juga dimasuki air, vakum dan mesin basuh juga rosak.

"Semua barangan perabot dan harta pusaka dalam rumah yang ditinggalkan arwah ibu, Mariah Abd Razak yang meninggal dunia empat tahun lalu juga musnah ditenggelami air," katanya.

Penduduk berhampiran, Ahmad Farhan Che Mie, 37, berkata rumahnya juga dinaiki air kira-kira 0.3 meter dan dia hanya mampu menyelamatkan ibu, Zainab Abd Razak, 71, yang uzur sejak dua tahun lalu.

Isterinya, Fatin Abd Rahim, 37, dan anak tunggal mereka, Farhana Delisha, 5, menyelamatkan diri ke rumah saudara berhampiran dalam bencana kali ini yang menyebabkan mereka kerugian hampir RM2,000.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302810/barang-peninggalan-arwah-ibu-musnah







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-1-2025 03:14 PM GMT+8 , Processed in 0.052866 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list