Alor Setar: Lima lelaki warga Myanmar yang juga pekerja sangkar ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Tanjung Dawai, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua mereka yang berusia antara 27 hingga 38 tahun ditahan anggota bot ronda yang melakukan rondaan rutin di kedudukan 1.4 dan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Dawai.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lesen sah pengoperasian sangkar ikan itu sudah tamat tempoh dan kelima-lima lelaki warga Myanmar itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah ketika diperiksa.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8 (c) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
"Kesemua dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti berkata, pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.