98 mangsa ribut Kepala Batas terima sumbangan awal
Oleh Nur Izzati Mohamad - September 23, 2024 @ 10:33pm [email protected]
Mangsa ribut di Kepala Batas pada minggu lalu menerima sumbangan awal yang diusahakan Reezal Merican. - Foto ihsan pembaca
KEPALA BATAS: Insiden ribut yang menjejaskan puluhan rumah di Seberang Perai Utara di sini, minggu lalu, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kepala Batas, Mohd Naim Salleh, berkata terdapat 98 pemilik rumah terkesan dengan bencana alam itu.
Justeru, beliau berkata, sumbangan awal telah diusahakan bagi meringankan beban mangsa sementara menunggu bantuan daripada agensi berkaitan.
"Ribut yang melanda beberapa kawasan di sekitar Kepala Batas, minggu lalu, menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan akibat dihempap pokok dan bumbung pula diterbangkan angin.
"Sehubungan itu, ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican telah mengusahakan sumbangan awal kepada 98 pemilik rumah yang terjejas dalam insiden berkenaan.
"Jumlah sumbangan awal itu diberi berdasarkan tiga kategori kerosakan rumah, dengan nilai antara RM300 hingga RM500 seorang," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mohd Naim sekali gus berharap sumbangan awal berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan membantu memenuhi keperluan sementara penduduk terjejas itu.
Terdahulu, Mohd Naim bersama Pegawai Penyelaras ADUN Pinang Tunggal, Muhasdey Mohammad; Ketua AMANAH Kepala Batas, Ramli Omar; dan Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Nordin Wahab mewakili Reezal Merican, menyampaikan sumbangan itu di Dewan Kariah Masjid Ar-Rahman, Permatang Rambai.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302140/98-mangsa-ribut-kepala-batas-terima-sumbangan-awal
|