Balik Pulau: Berang kerana sering datang ke rumah beritahu motosikal sudah siap dibaiki, pemilik dan pekerja bengkel cedera dibelasah dalam kejadian di Teluk Kumbar di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, suspek turut mengambil barangan berharga milik kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu pemilik bengkel bersama dua pekerja berada di premis sebelum mereka didatangi enam lelaki yang mana dua dikenalinya.
Katanya, suspek berang kerana seorang daripada pekerja berkenaan sering ke rumah hanya ingin memberitahu motosikalnya sudah siap dipasang.
"Suspek terus menampar pekerja berkenaan serta memukul menggunakan kunci garpu (fork lock) dan besi sehingga cedera di kepala, keting kanan dan luka di bahagian belakang badan.
"Pemilik bengkel turut dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan menyebabkan luka di kening kiri, kepala dan tulang rusuk sebelah kiri," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kamarul Rizal, suspek juga turut mengambil gelang perak pemilik bengkel dan rantai emas kepunyaan pekerja premis berkenaan.
Susulan itu, lima individu berusia 23 hingga 55 tahun termasuk pasangan suami isteri ditahan di sebuah kediaman sekitar Lintang Nelayan 2, Taman Nelayan di sini.
"Polis turut merampas sebanyak empat telefon bimbit pelbagai jenama.
"Kesemua mereka direman selama lima hari sehingga 27 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya lagi.