Pemandu rempuh kedai ketika cuba ambil telefon bimbit terjatuh dalam kereta
Hamzah Osman[email protected]
Sebuah kereta merempuh lot kedai menjual pakaian di Jalan Pantai Chenang, Langkawi selepas pemandunya tertekan pedal minyak ketika cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh di kakinya ketika memandu. FOTO IHSAN POLIS
Langkawi: Tindakan pemandu kereta cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di kaki membawa padah apabila tertekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandunya merempuh lot kedai di Jalan Pantai Chenang di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kejadian berlaku di sebuah kedai menjual pakaian di Lorong Sultan Abdul Halim 2 di Jalan Pantai Chenang.
"Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika pemandu kereta berkenaan berusia 23 tahun tertekan pedal minyak ketika cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh di bahagian kaki.
"Kesilapan itu menyebabkan kereta jenis Perodua Axia dipandunya terbabas sebelum merempuh lot kedai di tepi jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shariman berkata, pemandu kereta terbabit seorang warga tempatan.
Disiarkan pada: September 23, 2024 @ 8:32pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1136983/pemandu-rempuh-kedai-ketika-cuba-ambil-telefon-bimbit-terjatuh-dalam-kereta
|